Wednesday, 11 April 2012
mekanisasi dalam bidang perladangan sawit
DALAM konteks penggunaan tenaga buruh, secara khususnya boleh diperincikan kepada beberapa sektor seperti perkilangan, pembuatan dan perindustrian. Di Malaysia, penggunaan tenaga buruh masih lagi berintensifkan dan ‘dibayangi’ kebergantungan kepada tenaga buruh separuh mahir dan tidak mahir asing. Jadi tidak hairanlah, pada tahun 2009 sahaja, jumlah pekerja asing di sektor perladangan dan komoditi khususnya kelapa sawit mencatatkan bilangan 502,229 orang dan daripada jumlah itu 372, 000 atau 74.12 peratus adalah pekerja asing. Malah lebih daripada 90 peratus pekerja asing itu bekerja sebagai penuai buah tandan segar.
Oleh itu, dalam konteks mentransformasi industri sawit negara ke arah lebih produktif dan kompetitif, kerajaan telah mengenalpasti penggunaan mekanisasi dalam aktiviti di ladang sebagai satu Projek Permulaan (EEP) Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang digariskan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Penggunaan mekanisasi ini adalah salah satu rancangan di bawah Projek Permulaan (EPP) dalam meningkatkan produktiviti pekerja ladang, iaitu EPP ke-3 daripada lapan EPP Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) bagi minyak sawit. Rasional daripada mekanisasi yang dilaksanakan memberikan implikasi positif pada jangka masa panjang khasnya dalam mencapai Petunjuk Keberhasilan Utama (KPI), Kementerian Sumber Manusia dalam ETP yang mensasarkan mengurangkan bilangan pekerja asing kepada 110,000 menjelang tahun 2020.
Namun sebenarnya, yang menjadi okjebtif serta keutamaan pihak MPOB dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam program mekanisasi kejenteraan seharusnya dipuji kerana MPOB telah mengorak langkah membangunkan jentera untuk kegunaan ladang dan diguna pakai syarikat perladangan sawit. Pusat Penjeteraan Ladang yang ditubuhkan bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) jelas telah mengubah ‘skrip’ industri sawit negara kerana hampir 30 jentera berteknologi tinggi dan mampu milik berjaya dihasilkan seperti Galah Penuaian Aluminium, Pemungut Tandan Buah Sawit, Treler Motosikal dan terbaru Cantas atau lebih tepat lagi Penuai Buah Sawit Bermotor.
Tidak dapat dinafikan, hasil inovasi MPOB iaitu penggunaan Penuai Buah Sawit Bermotor (Cantas) telah terbukti mampu meningkatkan produktiviti sawit.
Mengikut kajian yang telah dijalankan, alat penuai cantas berupaya meningkatkan tuaian buah tandan segar sebanyak 2.8 tan bagi setiap pekerja sehari berbanding 1.5 tan dengan menggunakan alat penuaian konvensional. Ini secara puratanya, bilangan tandan yang dapat dituai sejam berjumlah 75 tandan berbanding 50 tandan yang mampu dituai melalui kaedah konvensional sedia ada. Dalam kaedah ini, secara tidak langsung pendapatan pekebun kecil dan peladang mampu ditingkatkan sekali ganda dalam tempoh sebulan dan meningkatkan produktiviti sawit.
Kesannya kepada industri sawit negara khususnya untuk pasaran eksport dapat ditingkatkan dan sekaligus sasaran untuk mencapai pendapatan lebih RM128 bilion dalam indsutri sawit menjelang 2020 dapat dicapai. Selain itu, kaedah pemotongan pelepah sawit juga lebih mudah menggunakan alat ini kerana ianya lebih ringan, mudah dikendalikan serta menjimatkan masa dan tenaga. Meskipun penggunaan Cantas belum dipraktikan secara meluas, MPOB giat mempromosikan alat ini melalui Skim Diskaun Cantas (SKIDIC) bagi memudahkan peladang memiliki alat ini dengan harga lebih rendah di pasaran.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment